Maklumat Asas Sawit

Pokok sawit atau nama sainsnya Elaeis guineensis (Jacq.) adalah pokok dari jenis Palma yang berasal dari Afrika Barat. Penanamannya menyeluruh di kawasan tropika merangkumi lebih daripada 16 buah negara  di seluruh dunia. Rantau Asia Tenggara merupakan kawasan utama penanaman pokok sawit.  Malaysia dan Indonesia sahaja menyumbangkan 83 % daripada pengeluaran minyak sawit pada tahun 2001. 
Pokok sawit penting sebagai sumber utama lemak (lipid) dalam rangkaian sistem makanan manusia.  Penemuan terbaru mendapati sumber pokok sawit boleh di gunakan sebagai bahan bakar kenderaan atau bio-disel (Envo-disel) yang dilancarkan pada 21 mac 2006 di Malaysia menambahkan permintaan terhadap minyak pokok sawit.  Pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat dijangka akan meningkatkan permintaan terhadap sumber kerana permintaan untuk makanan dan bahan bakar kenderaan yang bertambah. 

SEJARAH PENANAMAN DI MALAYSIA

Pada tahun 1848, sebanyak 4 biji benih telah dibawa oleh Belanda dan ditanam di Buitenzorg Botanical Garden (atau Bogor sekarang) Indonesia yang menjadi asas kepada industri pokok sawit di Malaysia dan Indonesia.  Benih dari varieti Dura (D) ini telah dibangunkan dari masa ke semasa sehingga kacukan dengan varieti Pisifera (P) dilakukan menjadi varieti Tenera (DxP) yang kebanyakannya ditanam sekarang.  Dura mempunyai isirong yang tebal iaitu di antara 2 – 3 mm tetapi pengeluaran tandan yang rendah manakala Pisifera mempunyai tebal isirong yang rendah dan tempurung yang tebal dan bilangan tandan yang tinggi.  Kacukan D x P atau varieti Tenera mempunyai ciri-ciri yang baik dari kedua-dua varieti iaitu isirong yang tebal dan tempurung yang nipis dan jumlah perahan minyak yang lebih tinggi

Pada masa kini, penyelidikan terhadap penghasilan benih-benih yang berkualiti masih dijalankan.  Pokok sawit dari kawasan Amerika tengah dan selatan mempunyai ciri seperti rentan terhadap kulat Fusarium spp yang boleh dimanipulasi untuk dikacuk dengan benih yang ada untuk menghasilkan pokok yang mempunyai produktiviti yang tinggi dan rentan terhadap penyakit.

PROFIL BOTANI

Pokok sawit adalah pokok monokotilidon yang mempunyai satu batang, daun berpina (daun berpelepah) dan menghasilkan bunga jantan dan betina dalam satu pokok atau ringkasnya monoesius.  Bunga-bunga ini terletak di atas pelepah daun. Hanya bunga bentina akan menghasilkan tandan-tandan buah sawit.

Sistem Akar

Pemahaman terhadap sistem akar pokok sawit adalah penting kerana ia memberi kesan kepada saiz, kesuburan pokok serta adaptasi terhadap jenis tanah, rangsangan kepada amalan penanaman dan sistem pengairan di ladang atau kebun.  Pokok sawit mempunyai jenis sistem akar adventitious atau terdiri daripada sejumlah besar akar berfiber yang muncul dari sistem batang pokok. Sistem akar pokok sawit adalah terdiri daripada 4 jenis.  Sistem pengkelasan ini adalah mengikut cabang-cabang yang muncul dari batang pokok sawit

1.    Akar primer iaitu akar pertama yang muncul daripada batang pokok sawit.  Akar ini merebak dari batang pokok secara menyeluruh sama ada secara horizon atau selari dengan permukaan tanah dan secara vertikal iaitu secara menegak dari permukaan ke bahagian tanah yang lebih dalam. 
2.    Akar skunder pula adalah akar yang muncul daripada akar primer.  Fungsi kedua-dua akar primer dan skundar adalah sebagai sistem sokongan kepada pokok sawit.
3.    Akar tertiar dan 4. Akar kuarternari atau sering dikenali sebagai akar pemakanan kerana fungsinya sebagai penyerap air dan nutrien yang terkandung di dalam tanah.

Kebanyakan biomas akar boleh didapati di antara julat 1 meter dari pemukaan.  Akar yang aktif atau akar pemakanan yang menyerap nutrien berada di antara permukaan dan kedalaman tanah dalam julat 0.5 m.  Akar tertiar dan kuartanari yang lebih dalam sering dikaitkan dengan fungsinya yang menyerap air tanah.  Sistem akar juga telah dikenal pasti memberi sumber hormon tumbuhan yang memberi kesuburan kepada pokok.  Pemahaman terhadap penyerakan sistem akar merupakan faktor yang penting dalam keberkesanan pengunaan baja dan toleransi pokok semasa kekurangan air.

Penyerakan akar pokok sawit yang muda berkait rapat dengan tahap kanopi pokok.  Akar sering terserak di kawasan yang terlindung oleh pelepah pokok sawit.  Penyerakan akar menjadi lebih baik apabila umur pokok meningkat atau apabila kawasan di bawah kanopi lebih besar dan pelepah pokok-pokok sawit mula berkait di antara satu sama lain atau apabila berumur 6 tahun ke atas.  Teknik pembajaan yang baik adalah selalu berkait rapat dengan kedudukan akar pemakan ini.  Oleh itu, program pembajaan pokok muda di kebun terhad kepada kawasan keliling pokok dan terletak di bawah lindungan pelepah.  Pokok yang berumur lebih 6 tahun akan dibaja diantara lorong-lorong penyelengaraan.  Namun teknik pembajaan seperti kaedah bajaan memusat (saku/poket) boleh dibuat terutama di kawasan lereng-lereng bukit untuk mengelakan kehilangan baja semasa hujan.

Penggunaan bahan kimia yang keterlaluan untuk mengawal rumput di dalam kebun sering menurunkan populasi mikrorganisma yang bermanfaat kepada tanah.  Kandungan asid yang tinggi dalam bahan kimia bukan sahaja boleh membunuh rumpai sahaja bahkan kulat, bakteria yang berasosiasi dan bersimbiosis dengan pokok sawit.  Kulat mikoriza yang membantu pokok dengan menambah keupayaan akar pemakan menyerap air, nutrien dan membantu dalam sistem pertahanan pokok akan musnah dalam konsentrasi asid yang tinggi.  Hal ini sering terjadi kepada kawasan kebun pokok sawit yang ditanam semula atau kebun generasi pokok sawit yang kedua.  Oleh itu, penambahbaikan kulat mikoriza adalah antara unsur yang penting bagi memelihara kesuburan tanah.

Struktur Batang

Batang pokok sawit mempunyai 3 fungsi yang utama

1.    Menyokong pelepah daun
2.    Mengangkut bahan nutrien dan air dari akar ke bahagian pelepah daun serta bahan hasil fotosintesis dari pelepah daun ke bahagian akar tumbuhan.
3.    Menjadi pusat penyimpanan bahan nuriten mineral dan karbon yang diasimilasi (dijana)

Batang pokok sawit selalunya hanya boleh dilihat dengan jelas selepas berumur 3 tahun selepas penanaman.  Satu dirian pokok sawit yang baik mempunyai purata diameter batang yang hampir sama di antara bahagian hampir dengan pelepah dan berdekatan dengan akar.  Pokok yang “seksi” atau bahagian bawah batang yang keterlaluan besarnya berbanding dengan batang yang berhampiran dengan pelepah sering dikaitkan dengan kekurangan nutrien atau kurang dibaja.  Hal ini terjadi apabila bahan nutrien mineral dan hasil fotosintesis yang terkandung di dalam batang digunakan untuk proses penghasilan buah dan tumbesaran pokok.

Pelepah Daun

Kadar penghasilan pelepah daun adalah lebih tinggi berlaku terhadap pokok sawit yang muda (40 pelepah daun dalam sebatang pokok semasa tempoh setahun) berbanding pokok yang dewasa berumur 16 tahun ke atas (22 – 24 pelepah daun dalam sebatang semasa tempoh setahun).  Sepohon pokok sawit yang telah produktif perlu mengekalkan diantara 35 dan 40 pelepah daun dalam satu-satu masa. 

Kehadiran berbilang pucuk pelepah yang tidak berkembang adalah salah satu petunjuk kepada kekurangan bekalan air dalam pokok sawit.  Pucuk pelepah ini akan berkembang sebaik sahaja memerima jumlah hujan yang sesuai dengan keperluan pokok sawit. Perubahan warna daun juga boleh menjadi satu petunjuk yang baik bagi menentukan kekurangan bahan nurtien.  Daun pokok yang berubah dari warna hijau ke warna kuning misalnya adalah tanda-tanda kekurangan bahan Nitrogen (N) manakala bintik-bintik kuning adalah tanda kekurangan bahan Kalium.  Struktur daun yang berkedut pula menunjukkan kekurangan Boron.

Bunga

Pokok sawit adalah pokok monoesius atau pokok yang mempunyai kedua-dua bunga jantan dan betina dalam satu pokok.  Penghasilan bunga jantan dan betina pokok sawit biasanya tidak belaku serentak untuk mengurangkan pendebungaan sesama sendiri.  Proses pendebungaan biasanya dilakukan oleh angin atau kumbang pendebunga (Elaeidobius kamerunicus, Faust), spesies yang diperkenalkan ke Malaysia berasal dari Afrika barat pada awal 1981. 

Penghasilan buah sering dikaitkan dengan nisbah bunga jantan dan betina yang seimbang.  Nisbah penghasilan jenis bunga ini pula adalah dipengaruhi oleh faktor seperti air, bahan nutrien, amalan pemangkasan pelepah, penyakit dan serangan makhluk perosak.   Kekurangan air, bahan nutrien, pemangkasan pelepah yang keterlaluan, serangan penyakit dan makhluk perosak sering menyebabkan penghasilan bunga jantan yang lebih tinggi. Akibatnya kurang bunga betina dan kurang buah dihasilkan.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut